Sambil melayan Hakim membuat soalan Sains (MCQ) secara santai, saya tertarik dengan siaran Al Hijrah yang memaparkan kuliah Zohor oleh Ustadz Harryanto. Tajuk kuliah sangat memikat hati, sangat terkesan dan sesuai dengan senario sehari hari kehidupan kita iaitu Jangan Mengungkit. Begitu simple, tetapi ternyata inilah yang sering berlaku samada secara sedar atau tidak.
Ia sangat sinonim dengan apa yang kami lalui. Hidup kami sekeluarga agak berbeza semenjak ditinggalkan Arwah. Lebih kepada menerima dari memberi. Perasaan jadi keliru, malu ada, rasa bersalah pun ada. Mulalah fikir macam-macam.Bagaimanapun kami terima seikhlas hati kerana segalanya rezeki dari Allah walaupun pemberian itu amat sedikit. Besar ertinya buat kami sekeluarga. Hanya Allah yang membalas segala pemberian. Bagaimanapun, kadang kadang perkara yang berlaku adalah di luar jangkaan. Pemberian dan pertolongan yang dianggap ikhlas rupanya tidak seperti yang disangkakan. Mungkin mereka menyesal menghulurkan bantuan kepada kami dan mulalah mengungkit apa yang telah diberikan satu persatu. jadi terlalu berkira pula. Inilah hakikat dan pengalaman sebenar kami tempuhi sehinggalah ke saat dan hari ini. Dengan anak-anak pun diungkit. Kasihan juga dengan Syakira dan Hasya yang mungkin dah cukup besar untuk rasa terhina. Ia bukan menjurus kepada sakit hati tetapi sayu dan sedih lebih lebih lagi yang mengungkit telah berkorban untuk kami sekeluarga itu adalah orang terdekat.
Sebagai ketua keluarga saya menjadi was was dan cuak untuk menerima bantuan atau meminta bantuan kerana takut jadi ungkitan lagi. mulalah kononnya nak cuba berdikari walaupun kadang kadang terpaksa juga minta tolong. Tapi itu juga menjadi masalah. Ada pula yang menganggap dan pandai berdikari sedikit dah mula sombong. Rupanya susah juga jadi ibu tunggal dan anak yatim. Coretan saya bukan langsung untuk meraih simpati tetapi diharap menjadi panduan hidup ke arah yang lebih baik.Nak terima bantuan lagi, nanti takut disebut-sebut dan diungkit ungkit. Tidak terima dikatakan pula dah sombong dan macam-macam lagi. Akhirnya yang terbaik hanya berserah kepadaNya kerana inilah dugaan yang perlu dihadapi. Jika dibandingkan dengan orang lain apalah sangat dugaan yang terpaksa saya hadapi sekarang dan tidak pasti sampai bila. Apapun bersyukur dan ikhlas menerima ujian dariNya.
Bagaimanapun kami sekeluarga sangat berterima kasih kerana masih ada lagi sokongan dan pemberian saudara-mara, rakan-rakan, jiran tetangga yang sangat ikhlas membantu kami sekeluarga tidak putus-putus sehingga ke hari ini.
Semoga pengisian kuliah Ust. Yanto memberi peringatan buat diri saya dan anak-anak supaya tidak sanggup melakukannya kepada orang lain sepertimana yang kami telah dan sedang lalui ini. In shaa Allah.....
Sebelum beri sesuatu fikir dulukan, jika rasa nak ungkit balik, baik batalkan saja.
Sebelum beri sesuatu fikir dulukan, jika rasa nak ungkit balik, baik batalkan saja.
“Tiga orang yang tidak akan Allah ajak bicara pada hari kiamat, tidak pula Allah melihat kepada mereka dan juga tidak mensucikan mereka, serta bagi mereka azab yang pedih.”
Abu Hurairah berkata, “Beliau mengulanginya hingga tiga (3) kali”. Abu Dzarr berkata, “Sungguh merugi, siapakah mereka wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Musbil (orang-orang yang berisbal iaitu yang melabuhkan pakaiannya melebihi mata kaki ke bawah (bagi lelaki)), orang yang mengungkit-ngungkit kebaikannya dan orang yang menjual barang dagangannya dengan sumpah palsu.” (Hadis Riwayat Muslim, 106)
No comments:
Post a Comment